Emosi yang tergolong dalam kategori emosi yang positif adalah seperti rasa gembira, seronok, ghairah, dan bersemangat. Emosi yang negatif pula adalah terdiri daripada emosi yang mempunyai nada yang negatif seperti cemas,marah,sedih,rasa bersalah,dan sebagainya.Kanak-kanak dikatakan boleh mengalami kedua-dua jenis emosi ini serentak.
Pensyarah Psikologi Perkembangan Dan Pendidikan Awal Kanak-kanak Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Mastura Badriz, berkata ilustrasi emosi yang terlihat dalam kehidupan harian kanak-kanak berfungsi sebagai satu cara bagi komunikasi untuk memberitahu dan menyatakan keperluan mereka.
- Jenis Emosi atau Perasaan dan implikasi pada kanak-kanak:
Gembira - Membantu kanak-kanak atau remaja berfikir bagaimana melahirkan rasa seronok dan menggalakkan mereka bercakap mengenai sesuatu yang mereka sukai.
Marah - Membantu mencari jalan bagaimana menghadapi halangan untuk mendapat sesuatu yang dicitakan dan mengenal erti kesabaran, belajar melahirkan perasaan geram dalam bentuk yang bersesuaian dan mencari jalan penyelesaian.
Takut - Rasa terancam, suatu motivasi ingin memastikan keselamatan diri dari aspek fizikal dan psikologi. Merangsang kanak-kanak melahirkan fikiran dan perasaan takutnya, mencari jaminan mendapat ketenangan dan ketenteraman.
Sedih - Kehilangan, tidak mendapat apa yang dikehendaki menjadikan kanak-kanak berusaha lebih mendapat apa yang dicita, mencurah perasaan dan berfikir bagaimana mengatasi rasa sedih.
Geli - Selalunya dikaitkan dengan makanan, bau dan pandangan, suatu yang semula jadi menjadikan seseorang kanak-kanak berhati-hati agar tidak ‘terkena’ apa yang yang beliau geli. Perasaan ini perlu dihormati dan bantu mereka mencari sebab mengapa mereka berperasaan begitu.
Cemas - Asalkan tidak keterlaluan, sebenarnya ia membantu kanak-kanak berusaha mengambil langkah mengelak diri dari menghadapi masalah, belajar menahan perasaan bimbang dan bertindak proaktif untuk menunjukkan sesuatu yang terbaik.
Malu - Menjadikan kanak-kanak menyedari kepentingan perilaku yang baik dan mengelak daripada melakukan sesuatu yang dikatakan memalukan. Ini membantu mereka mengawal tingkah laku mereka sendiri.
Rasa bersalah - Wujud bila kanak-kanak melakukan sesuatu yang dianggap ‘keluar’ dari ’standard’ tingkah laku yang baik. Si kecil akan berusaha untuk tidak dianggap bersalah dengan berakhlak sebaik mungkin dan sekiranya kesalahan tetap atau sudah dilakukan, perasaan ini merangsang kanak-kanak meluahkan perasaan dan menyedari agar berusaha untuk tidak mengulangi pada waktu yang lain.
Rasa bangga - Tercetus bila seseorang kanak-kanak terasa dihormati/dihargai oleh orang lain atau bila ia mencapai apa yang diharapkan seperti merangsang mereka meluahkan apa yang membuatkan mereka merasa bangga dan memberi peluang berkongsi rasa bangga, puas dan gembira.
Perkembangan emosi kanak-kanak usia pertengahan
Sudah pandai menyembunyikan emosi yang negatif dengan berpura-pura menunjukkan keseronokan.
Sudah mula memahami dan menghurai emosi yang kompleks : perasaan malu, rasa bersalah, rasa bangga dan cemburu.
Perasaan takut mula berkembang kepada yang lebih realistik - takut sekolah, takut berkomunikasi, takut kejadian jenayah.
Mahu disayangi tetapi bukan ditonjolkan depan ramai.
Amat memerlukan bantuan mengenalpasti emosi marah agar tidak ‘out of control’; belajar mengawal perasan.
Perlu perhatian dan dorongan mengatasi rasa takut.
Mula memahami keperluan kumpulan.
Menurut Dr. Sharifah Nor, dalam perkembangan sosio emosi pula ia adalah untuk membolehkan mereka ( kanak-kanak ) dapat mengurus dan memahami emosi sendiri, mencapai emosi yang positif, membina kemahiran sosial dan membina keyakinan untukmenghadapi cabaran dalam kehidupan harian.
Pada peringkat pertengahan ini, kanak-kanak mengawal emosinya berasaskan pemikiran. Mereka menganggap satu cara untuk tidak sedih dengan cara memikirkan sesuatu yang akan lebih menggembirakannya.
Kanak-kanak akhir pula merupakan peringkat yang dikenali sebagai pra remaja. Mereka akan mengalami emosi yang menfokuskan terhadap tubuh badannya. Mereka bimbang dengan apa yang orang sekeliling fikirkan tentang diri mereka dan keinginan yang tinggi untuk privasi dan sangat sensitif terhadap tubuh badan. Kanak-kanak pada peringkat akhir pula mengalami perubahan di mana mereka sudah mula “jauh” dengan ibubapa. Mereka juga lebih selesa bersendirian melayan perasaan.
5 comments:
terima kasih tuk perkongsian ni..
terima kasih ye ;)
tq for sharing..=)
tq for sharing..=)
Salam..
Biasanya soalan apa yang selalu ditanya kepada kanak2 berusia sekitar 10 tahun untuk menguji perkembangan sosio emosi mereka? thanks~~
Post a Comment